Friday, December 10, 2021

Sirah : Khalifah Pertama Di Dunia

 
Khalifah Pertama Di Dunia

Sejarah penciptaan Nabi Adam a.s telah dirakam melalui kalam Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 30 hingga 38 dan juga surah al-A’raf, ayat 11 hingga 25. Banyak juga kisah Nabi Adam yang telah dikisahkan dalam beberapa riwayat, antaranya ialah: 

 
Maksud: “Imam Ahmad mengatakan bahawa Yahya dan Muhammad meriwayatkan kepadanya dari Auf dari Qusamah bin Zuhair dari Abu Musa dari Nabi SAW, bersabda: “Allah menciptakan Adam berasal daripada segenggam tanah dari segala unsur. Oleh sebab itu, anak cucu Adam lahir sesuai dengan warna tanah. Di antara mereka ada yang berwarna (kulit) putih, merah, hitam dan sebagainya. Ada pula yang buruk dan ada yang bagus. Ada yang mudah (berakhlak baik), ada pula yang sedih dan seterusnya.” (Hadis Riwayat Baihaqi dan Tirmizi) 

Penciptaan Nabi Adam a.s telah dimuliakan oleh Allah SWT dengan menggunakan ‘tanganNya’ sendiri dan ditiupkan roh ke dalam dirinya. Tangan di sini bukanlah bermaksud seperti tangan manusia, kerana zat Allah tidak sama dengan zat manusia. Ia bererti kuasa Allah yang berupaya mencipta apa sahaja yang diinginkannya dengan hanya menyebut “jadilah!”

 وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي خَالِقٌ بَشَرًا مِّن صَلْصَالٍ مِّنْ حَمَإٍ مَّسْنُونٍ فَإِذَا سَوَّيْتُهُ وَنَفَخْتُ فِيهِ مِن رُّوحِي فَقَعُوا لَهُ سَاجِدِينَ 
 “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. “Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) ku, maka hendaklah kamu sujud padanya.” (Surah Al-Hijr, 15:28-29) 

Penciptaan Nabi Adam adalah melalui tanah seperti yang telah diceritakan melalui ayat di atas. Malah terdapat beberapa riwayat bahawa, terdapat beberapa tanah yang telah digunakan oleh Allah untuk menjadikan Adam. Oleh sebab itu, manusia dikatakan boleh bertahan dan tinggal di beberapa jenis tempat dan musim seperti sejuk, panas, musim luruh, di dalam air dan sebagainya. Walau bagaimanapun, penciptaan Adam pada awalnya telah dipersoalkan oleh Malaikat dengan alasan manusia ialah golongan pemusnah dan perosak. Ini adalah berdasarkan kalam Allah yang bermaksud: 

Mafhum: “Adakah Engkau (Ya tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?” (Surah Al-Baqarah, 2:30) 

Namun, sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui terhadap segala sesuatu. Nabi Adam a.s telah tinggal di syurga bersama dengan Hawa, yang telah diciptakan tidak lama selepas Nabi Adam.


No comments:

Post a Comment