Rasulullah dengan Pendeta Buhaira
Pertemuan Rasulullah dengan pendeta Buhaira
Ketika umur Nabi Muhammad sekitar 9 sehingga 12 tahun, Baginda mengikut Abu Talib untuk berniaga di negeri Syam, sehingga apabila sampai ke Basrah, yang merupakan sebahagian dari Syam di dalam daerah Hawran. Namun pada ketika itu, Basrah adalah salah sebuah negeri, di daerah negeri Arab di bawah taklukan Rom.
Di sana terdapat seorang paderi bernama Jarjis yang dikenali sebagai Buhaira. Apabila angkatan pedagang itu melintasi biara pendeta Buhaira, beliau telah mengajak angkatan tersebut untuk menikmati sedikit juadah, dan memuliakan mereka sebagai tetamu, tapi ini bukan satu kebiasaannya, kerana sebelum ini beliau tidak pernah keluar untuk menemui sesiapa.
Kafilah itu menerima undangan, namun meninggalkan seorang kanak-kanak lelaki (Nabi Muhammad) di luar untuk menjaga barangan dagangan. Buhaira walau bagaimanapun mengajak setiap individu dari kafilah tersebut untuk menjamah hidangannya.
Semasa beliau memegang tangan Baginda, terus beliau berkata: Inilah penghulu dunia sejagat, inilah orang yang diutuskan Allah sebagai rahmat untuk sekelian alam.
Kata Abu Talib: Dari mana maklumat ini tuan perolehi?
Jawab beliau: Tahukah kamu, bahawa semasa kamu mendekati “al-Aqabah” tidak ada batu dan pokok-pokok pun yang tidak tunduk sujud kepadanya, sujud seperti ini hanya berlaku kepada seorang nabi sahaja, dan aku kenali pada Baginda “Khatam al- Nubuwah” penutup kenabian, ianya terletak di belakang Baginda di bawah tulang dayung bentuknya seperti epal, semua sifat-sifat Baginda tersebut di dalam kitab-kitab kami.
Riwayat yang lain pula mengatakan terdapat “pergerakan ajaib” suatu kabus atau awan telah memayungi Muhammad setiap kali baginda berjalan pada waktu siang hari walaupun dalam keadaan panas terik.
Pendeta Buhaira lalu mengingatkan kepada Abu Talib (bapa saudara Nabi Muhammad) agar dia sentiasa mengawasi Muhammad dan menjaganya dengan baik. Abu Talib juga disuruh untuk mengawasi Muhammad supaya baginda tidak disakiti dan menjadi buruan kaum Yahudi dan Israel (dalam versi periwayatan Ibn Sa’ad) atau Byzantine (Rom Timur) (dalam versi periwayatan al-Tabari).
Setelah itu, Abu Talib mengirim Rasulullah untuk berpatah balik ke Makkah bersama-sama dengan beberapa orang suruhannya.
No comments:
Post a Comment