Anak Cikgu Sebelah Rumah - Sha Ibrahim
Farah pernah buat kerja gila. Masuk meminang anak cikgu sendiri; merangkap jiran sebelah rumah. Lebih memalukan, pinangannya ditolak dan dia pula membawa diri ke Auckland selama empat tahun.
Balik semula ke Malaysia, Farah sekali lagi buat kerja gila. Kali ini, dia bersetuju untuk menjadi menantu bekas cikgunya itu. Kalau dulu, yang dia gilakan sangat adalah si abang. Namun, yang dia nak kahwin kali ini adalah dengan si adik, merangkap musuh sepanjang zaman.
Entah ‘ubat pengasih’ apa yang dihembus Hairi. Perasaan dia terhadap lelaki itu berubah mendadak. Perasaan benci bertukar sayang. Dan perasaan meluat yang dirasakan setiap kali memandang seraut wajah itu, bertukar menjadi suka. Malah, dia mula kenal erti rindu.
"Aku tak tahulah apa yang kau dah mandremkan aku. Ayat pengasih apa yang kau dah tiup kat aku? Apa yang aku tahu, perasaan aku pada kau dah berubah. Kalau Tuhan dah tetapkan yang aku ni bakal isteri kau, insya-Allah aku akan terima dan cuba yang terbaik." – Farah
"Insya-Allah. Kita sama-sama cuba yang terbaik." – Hairi
Itu sebelum kahwin. Selepas kahwin, lain pula jadinya. Hairi tiba-tiba berubah. Perubahan mendadak yang menimbulkan pelbagai tanda tanya dalam benak Farah. Dia ada buat silapkah? Dia ada buat Hairi marahkah? Rasanya, mereka berkahwin atas kerelaan masing-masing. Namun, mengapa sekarang mereka seperti kena kahwin paksa. Diakah yang terpaksa? Ataupun Hairi yang sebenarnya dipaksa? Entahlah. Dia sendiri pun keliru.
Dan disebabkan itu, Farah terus-menerus buat kerja gila. Lebih parah, kali ini Hairi turut diheret sama!
“Apa kata kalau kita hidup macam dulu-dulu. Macam sebelum kahwin. Kau dengan urusan kau. Aku dengan urusan aku. Habis cerita! Apa pendapat kau?” – Farah.
“Kau serius ke?” – Hairi.
Itu sahaja pilihan yang ada; untuk memberi ruang kepada Farah memikirkan ke mana hala tuju perkahwinan mereka, serta mencari punca sebenar perubahan mendadak encik suami. Berjayakah Farah mengekalkan ikatan suci yang sudah termeterai itu? Apa punca sebenar perubahan Hairi? Berjayakah Farah dan Hairi mengecap bahagia?
No comments:
Post a Comment