Suamiku Lelaki Pendosa
Kisah Dean Ilyas yang tampak sempurna namun cenderung kepada homoseksual iaitu hubungan sesama sejenis. Dean cuba berubah dengan bantuan dan sokongan isterinya Cahaya Malaika.
Cahaya Malaika (Sophia AlBarakbah) dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh Encik Firdaus (Fauzi Nawawi) dan Puan Wahidah (Aleza Shadan). Cahaya sangat rapat dengan kakaknya, Anggun Dania (Shima Anuar). Cahaya bertunang dengan lelaki pilihannya, Nik Safri (Kael).
Malangnya pertunangan mereka diputuskan selepas rahsia identiti Cahaya terbongkar. Malahan, Cahaya juga dihina oleh Nik Safri sebagai anak tak sah taraf.
Sehubungan itu, hubungan Anggun dan Dahlia dengan ibu mereka juga menjadi renggang. Cahaya masih boleh berlapang dada dan berusaha untuk menerima takdirnya. Dia juga memujuk dan memberi semangat kepada ibunya yang sedang bermurung.
Tidak lama kemudian, Cahaya dipertemukan dengan Dean Ilyas (Aaron Aziz) yang bertindak sebagai hero untuk menyelamatkan Cahaya daripada terus disakiti oleh Nik Safri di kedai makan.
Dean merupakan lelaki yang berbudi bahasa dan mempunyai aura tersendiri. Mereka berdua bertemu lagi ketika menemani orang tua ke sebuah majlis reunion. Ibu Dean, Datin Junaidah (Maria Farida) terus berkenan dengan anak sahabatnya dan bersungguh-sungguh untuk menyunting Cahaya sebagai menantu.
Cahaya berterus-terang tentang statusnya kepada Dean kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali. Dean sangat ikhlas dan bersedia menerima Cahaya seadanya. Dia juga bersetuju akan merahsiakan hal ini daripada pengetahuan keluarganya. Oleh itu, Cahaya bersetuju dengan lamaran daripada Dean.
Majlis perkahwinan Dean dan Cahaya bakal dilangsungkan oleh Datin Junaidah. Ketika kedua-dua keluarga gembira dengan penyatuan Dean dan Cahaya, kawan baik Dean iaitu Izfairin (Gambit Saifullah) tidak bersetuju dengan pilihan Dean.
Selepas kahwin, pelbagai dugaan mula datang menguji. Cahaya yang dipergunakan oleh Datin Junaidah untuk menyelamatkan maruah keluarga dan egonya akhirnya bakal berhadapan dengan sejarah hitam Dean yang disimpan rapi.
Apakah yang bakal berlaku seterusnya? Adakah Cahaya dapat menerima dan memaafkan suaminya?
No comments:
Post a Comment